Ketiadaan ‘darah kotor’ mungkin petanda tak subur, ketidakseimbangan organ dalam badan
REMAJA belum didatangi haid sekitar usia 16 tahun berkemungkinan menunjukkan petanda awal mengalami masalah kesuburan pada masa depan walaupun mengalami perkembangan fizikal sempurna. Justeru, ibu bapa perlu segera bertindak membawa anak gadis mereka berjumpa pakar sakit puan bagi menjalani pemeriksaan lanjutan, agar masalah sebenar dapat dikenal pasti sebelum terlambat.
Pakar dan Pensyarah Obstetrik & Ginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nur Azurah Abdul Ghani, berkata remaja yang tidak didatangi haid bukanlah petanda kepada penyakit yang boleh mengancam nyawa, tetapi ia masalah membabitkan organ lain di dalam tubuh.
“Proses kitaran haid membabitkan banyak bahagian organ di dalam tubuh seperti hypothalamus, kelenjar pituatari, kilang telur, rahim dan faraj (vagina). Sebarang masalah pada salah satu organ ini boleh menyebabkan haid tidak datang. Misalnya, sekiranya seseorang remaja itu terlalu aktif dalam sukan, mengamalkan diet keterlaluan (anoreksia nervosa), terlalu runsing dalam menghadapi peperiksaan atau pernah menjalani radiasi otak kerana barah, ini semua boleh mengganggu fungsi otak terutama hypothalamus. ???Kitaran haid boleh terganggu atau terus terhenti. Masalah ini juga boleh dialami mereka yang menghidap penyakit auto imun seperti Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau penyakit lain seperti thalasemia major yang menyebabkan kegagalan fungsi kilang telur (ovarian failure),” katanya.
Generasi sebelum ini didatangi haid sekitar usia 15 tahun, tetapi kini, ada remaja didatangi haid seawal usia sembilan tahun disebabkan faktor pemakanan dan tahap kesihatan lebih baik. Secara puratanya, remaja perempuan didatangi haid dalam lingkungan usia 12 tahun. Sebelum itu, remaja lazimnya mengalami beberapa perubahan fizikal. Misalnya, pada usia lapan hingga 10 tahun remaja mengalami pembesaran payu dara dan pada usia sembilan hingga 13 tahun pula bulu mulai tumbuh di sekitar alat kelamin.
Pada peringkat awal, kitaran haid seseorang remaja itu biasanya tidak teratur. Ini fenomena biasa dan tidak perlu berasa bimbang kerana kadangkala ia mengambil masa dua hingga enam tahun untuk kitaran haid menjadi teratur. Bagaimanapun, sekiranya haid tidak datang lebih dari tiga bulan, ibu bapa harus membawa remaja ke klinik untuk mendapat nasihat doktor.
Pemeriksaan menyeluruh akan dilakukan termasuklah pemeriksaan darah untuk mengenalpasti punca kepada masalah ini. Berdasarkan keputusan ujian, rawatan boleh diberikan dengan ubatan atau perlu menjalani pembedahan kecil.
“Ramai yang tidak sedar mengenai masalah anak mereka kerana sikap ibu bapa yang kurang mengambil berat mengenai kitaran haid anak gadis mereka. Remaja tidak akan mengadu kepada ibu bapa kerana bagi mereka tidak datang haid bukanlah sesuatu yang menyakitkan mahupun perlu diberi rawatan. Malah ramai di antara remaja kita tidak pasti pada usia bilakah mereka harus mengalami kedatangan haid.”
“Di Malaysia tidak ada sebarang data menunjukkan jumlah sebenar mereka yang mengalami masalah primer atau sekunder. Dalam sebulan sekurang-kurangnya dua kes ibu bapa datang membawa anak mereka ke klinik kerana tidak didatangi haid. Malah ada pesakit berusia 30 tahun datang untuk menjalani pemeriksaan kerana tidak pernah didatangi haid. Gadis berkenaan hanya datang berjumpa doktor kerana merancang hendak berkahwin tidak lama lagi, tetapi dalam masa sama bimbang kerana tidak pernah mengalami haid,” katanya.
‘Amenorrhea’ adalah istilah perubatan untuk individu yang tidak didatangi haid. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder. Amenorrhea primer tidak pernah didatangi haid selepas mencecah usia 16 tahun, manakala amenorrhea sekunder pernah didatangi haid, tetapi haid terhenti lebih dari 3 bulan lamanya.
Amenorrhea primer mungkin disebabkan selaput dara yang tertutup. Walaupun darah haid terbentuk setiap bulan dan gadis berkenaan turut merungut sakit perut, darah tidak boleh keluar seperti biasa kerana selaput dara menutup lubang faraj. Akibatnya darah haid terkumpul di dalam saluran faraj dan rahim. Mereka berisiko mengalami endometriosis pada masa depan. Sekiranya keadaan ini dikesan, pembedahan kecil perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah haid yang tersekat.
Lazimnya, selaput dara tertutup dapat dikesan awal kerana biasanya doktor membuat pemeriksaan awal ke atas setiap bayi perempuan baru dilahirkan. Sekiranya didapati selaput dara bayi tertutup, krim estrogen perlu disapu selama beberapa minggu pada selaput itu. Cara penggunaan yang betul dan berterusan dapat memastikan pembentukan lubang pada selaput itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, ada remaja yang tidak didatangi haid berpunca daripada masalah lain termasuk kecelaruan jantina.
“Ada juga kes remaja disangka perempuan sebenarnya lelaki. Golongan ini biasanya memiliki kromosom 46XY iaitu kromosom lelaki, sedangkan wanita normal memiliki kromosom 46XX. Keadaan ini dikenali sebagai ‘androgen insensitivity’, iaitu tubuh mereka tidak bertindak balas terhadap hormon lelaki. Mereka memiliki testis, bagaimanapun, ia tidak berfungsi dan hanya terletak dalam kawasan ari-ari atau dalam abdomen. katanya.
“Apa yang boleh doktor lakukan ialah membuang testis melalui pembedahan kerana ia berpotensi bertukar menjadi barah. Bagaimanapun mereka ini tidak akan didatangi haid atau hamil pada masa depan kerana mereka tiada rahim atau ovari. Ada juga remaja perempuan tidak didatangi haid kerana secara semula jadinya mereka tidak mempunyai rahim walaupun mereka memiliki kilang telur. Keadaan ini dinamakan ‘Mullerian agenesis’. Sering kali mereka ini mempunyai saluran urinari yang tidak normal.
‘Gadis yang bertubuh rendah kerana mengalami sindrom Turner’s juga lazimnya tidak didatangi haid akibat kilang telur yang tidak berfungsi. Mereka juga tidak mempunyai tumbesaran payu dara mahupun ada bulu di kawasan alat kelamin dan penampilan mereka seakan kanak-kanak. Mereka ini kekurangan kromosom iaitu 45XO,”
Kehamilan remaja adalah antara punca amenorrhea sekunder. Selepas dipastikan mereka tidak mengandung, punca lain perlu dikenal pasti. Remaja berkenaan mungkin mengalami sindrom polisistik ovari, iaitu tidak keseimbangan hormon di dalam badan. Lazimnya, golongan ini mempunyai masalah berat badan berlebihan, masalah jerawat dan juga pertumbuhan bulu berlebihan akibat lebihan hormon lelaki.
Kitaran haid mereka tidak teratur, mungkin dua atau tiga kali setahun, tetapi apabila didatangi haid, ia terlalu banyak. Mereka ini perlu menurunkan berat badan yang ideal yang boleh dicapai dengan melakukan senaman tetap, pemakanan seimbang dan juga bantuan ubatan. Ada kalanya pil perancang digunakan untuk memulihkan kitaran haid remaja ini kerana jika dibiarkan terlalu lama, mereka ini berisiko tinggi berdepan masalah kesihatan lebih serius termasuk barah rahim.
Bagaimanapun, ada sebab lain yang menyebabkan seseorang remaja lambat didatangi haid seperti sejarah keluarga atau ibunya. Remaja yang berusia 17 hingga 18 tahun, tetapi masih belum didatangi haid berkemungkinan tidak mengalami masalah jika ibunya juga mengalami keadaan yang sama. Ujian lain boleh dilakukan seperti mengukur berat badan, tinggi dan ujian darah bagi mengenal pasti masalah sebenar.

FAKTA
Dua punca remaja tidak datang haid :
Primer
Tidak pernah didatangi haid langsung walaupun sehingga usia mencecah 20 atau 30 tahun akibat masalah berkaitan organ dalaman tubuh yang lain.
Punca :
o Kurang komposisi lemak dalam badan akibat aktiviti bersukan atau diet aneroxia.
o Tekanan perasaan.
o Pernah menjalani rawatan kimoterapi atau sinar x.
o Kilang telur tidak berfungsi kerana penyakit auto imun (SLE).
o Rahim tidak berkembang secara normal.
o Selaput dara tidak pecah atau tertutup.
o Sindrom testikular feminization (remaja lelaki yang disangka perempuan).
o Sindrom Turner (bertubuh rendah, bahagian payu dara tidak berkembang, lebihan kulit pada leher akibat kelainan kromosom)
Sekunder
Pernah didatangi haid, tetapi haid berhenti atau tidak datang langsung pada usia tertentu walaupun mereka didapati tidak mengandung.
Punca :
o Hormon dalam badan tidak seimbang (tanda dikenal pasti melalui pertumbuhan misai atau janggut).
o Sindrom ovari polycystic.
o Lebihan hormon androgen.
o Amonia.
o Sejarah keluarga.
Sumber: Berita Harian