Tag-Archive for » khasiat «

Tuesday, June 29th, 2010 | Author:

BAWANG putih mempunyai nilai yang amat berguna pada kesihatan. Ciri-ciri penyembuhan dapat membantu meningkatkan tenaga dan kekuatan kepada tubuh badan di samping membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi (hypertension).

Minyak asas serta komponen lain yang dimilikinya mempunyai kekuatan antibodi, antifungal dan antiviral.

Khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan boleh didapati dengan mudah kerana bawang putih sememangnya digunakan sebagai penyedap masakan. Bawang putih mentah dihiris untuk masakan seperti daging, ayam dan sayur-sayuran atau salad. Selain itu ia juga dijeruk di dalam minyak untuk menghasilkan rasanya yang lazat.

Bawang putih juga boleh dijadikan ubat bagi penyakit sakit saraf, sakit sendi, kutil dan penyakit kulit lain.

Bawang putih segar yang dicampurkan dengan madu dikatakan dapat membantu menyembuhkan selesema, suara yang serak dan radang pada kerongkong.

Cara memakannya ialah dengan menekan atau gunakan mesin untuk menghancurkannya, kemudian campurkan dengan satu sudu madu. Kacau dan biarkan ia ditempat yang sejuk selama satu jam untuk sebatikan madu dan minyak bawang tersebut. Jika ada tanda-tanda untuk dijangkiti penyakit selsema, ambil satu atau dua sudu untuk diminum. Ulangi setiap jam berikutnya.

Ia juga boleh digunakan apabila selesema teruk dan amat berkesan untuk melegakan sesak nafas dan batuk.

Bawang putih juga dikatakan mampu memberi kesan terapeutik. Sulfur yang terdapat pada minyak bawang putih boleh membantu menjadi pembasmi atau pembunuh kuman dalam badan.

Jika bawang putih dijadikan makanan, ia akan diserap ke dalam aliran darah kemudiannya tersebar melalui pelbagai organ seperti bahagian kulit, usus, paru-paru dan sistem perkumuhan air kencing

Semua organ-organ tersebut mendapat manfaat penyembuhan daripada khasiat bawang putih.

-

Komponen-komponen

Bawang putih diperkaya dengan minyak asas dan agen utamanya yang aktif adalah alisin. Sebatian ini bertanggungjawab menghasilkan bau bawang putih dan berperanan sebagai agen membantu penyembuh penyakit. Sementara itu, bawang putih juga mengandungi kalsium, selenium, kalium dan zink.

Penggunaan bawang putih juga dapat membantu menurunkan tahap kolestrol dalam darah.

Bawang putih juga dikatakan mampu membantu untuk mencegah pertambahan plak di dalam arteri koronari.

Selain itu ia juga membantu mengelakkan pembentukan darah beku di dalam saluran darah. Kedua-duanya dapat melindungi tubuh daripada serangan sakit jantung dan strok.

-

Tip tambahan

Apabila anda memakan banyak bawang putih ia akan memberikan anda bau badan dan nafas yang tidak menyenangkan. Ini disebabkan oleh kandungan minyak yang terdapat padanya telah dikumuh melalui sistem pernafasan dan kulit. Jadi, bagi mengurangkan kesan yang tidak enak ini, kunyahlah daun parsli, taim atau pudina dengan segera selepas memakan bawang putih.

-

Untuk gangguan usus

Kualiti yang terdapat pada bawang putih juga digunakan untuk membantu merawat ulser. Untuk lebih berkesan makanlah tujuh hingga sembilan ulas bawang putih sepanjang hari mengikut cita rasa masing-masing.

Sama ada memakannya dengan susu atau ditaburkan di atas roti. Namun bagi ibu yang mengandung atau masih menyusukan anak tidak digalakkan untuk mengambilnya.

-

Untuk mengelakkan jangkitan

Sangat bagus untuk penyakit kaki makan air, ketuat, jangkitan-jangkitan kulit dan jerawat. Letakkan bawang putih segar yang telah dilecek ke dalam sekeping kain kasa dan sapukan pada kawasan yang terlibat.

-

Tip untuk dapur anda

lApabila membeli bawang putih pilihlah yang masih kukuh. Seharusnya kulit luarnya tegang, tidak pecah dan berwarna putih atau ungu.

lElakkan membeli bawang putih yang lembut dan lembap.

Sumber: Utusan Malaysia

Thursday, February 18th, 2010 | Author:

Sayur-sayuran adalah antara hidangan yang paling kurang digemari terutama di kalangan kanak-kanak. Malah, golongan dewasa juga ada yang tidak menggemari sayuran walaupun umum mengetahui bahan itu mempunyai vitamin yang banyak serta elok untuk kesihatan.

Tidak dinafikan sayur dan buah juga memainkan peranan bagi sesiapa yang mahu mengurangkan berat badan secara sihat.

Kandungan air dan serat yang tinggi dalam kebanyakan buah-buahan serta sayur-sayuran menjadikannya pilihan terbaik untuk hidangan ringan menyihatkan di samping disajikan dalam hidangan utama.

Vitamin dan khasiat dalam buah serta sayur membantu untuk memperoleh tahap kesihatan yang baik. Serat membuatkan seseorang itu cepat berasa kenyang. Oleh itu, ia memang pilihan bijak. Serat juga membantu dari segi penghadaman, sekaligus membolehkan tubuh memproses apa yang dimakan menerusi cara menyihatkan.

Bagaimanapun, cara penyediaan dan memasak sebenarnya menyumbang kepada kehilangan vitamin dalam bahan mentah itu. Ada cara yang boleh diikuti untuk mengelakkan kehilangan banyak khasiat dalam sayur.

Jika ke pasar atau pasar raya untuk membeli sayur, pilihlah yang segar. Pemilihan sayur-sayuran organik juga satu langkah bijak. Ia mungkin lebih mahal sedikit berbanding sayur-sayuran yang ditanam secara konvensional tetapi sayur boleh digunakan sepenuhnya tanpa perlu membuang batang atau kulitnya.

Antara sayuran organik yang cukup baik adalah sayuran berdaun hijau seperti bayam. lapisan luar sayur hijau itu boleh dimakan dengan selamat malah ia mengandungi paling banyak vitamin C.

Untuk kentang organik pula, usah buang kulitnya sebelum memasak kerana kulit kentang  organik mengandungi kandungan antioksida yang tinggi.

Jika sayur yang bukan organik, pilihlah yang ada dimakan ulat kerana ia menandakan sayur itu ditanam tanpa menggunakan banyak racun serangga.

Semua sayur-sayuran seharusnya dimasak ketika ia masih segar kerana rasa, rupa dan nilai makanan itu dalam keadaan terbaik. Sebaiknya, ia disediakan sejurus sebelum memasak kerana jika dibiarkan lama dalam air, ia boleh menyebabkan sebahagian khasiatnya menyerap keluar. Potong bahagian yang diperlukan dan mengandungi banyak zat saja. Misalnya ada sayur yang mempunyai zat paling banyak pada daunnya. Elakkan memotong sayur-sayuran kepada potongan kecil, jika boleh usah memotong sayur berkenaan.

Memasak secara mengukus lebih baik jika dibandingkan dengan cara merebus. Kaedah mengukus dapat memastikan zat pada sayur-sayuran itu tidak hilang dengan banyak. Jika mahu merebus, pastikan sayur-sayuran tidak direbus hingga ia lembik.

Selain sayuran yang perlu dimasak, ulam ulaman turut mempunyai khasiat yang banyak termasuk banyak bahan antioksidan yang mampu menghalang tindakan radikal bebas.

Sebenarnya amalan makan ulam menjadi budaya masyarakat negara ini terutama Melayu sejak turun temurun lagi.

Apabila kita makan, kita sebenarnya membuat pelaburan pada kesihatan. Kesan pelaburan ini bergantung kepada jenis makanan diambil. Apa-apa beringat dari awal lebih mendatangkan faedah berbanding  apabila sudah mendapat penyakit akibat gaya hidup yang tidak sihat.

 

 

Sumber: Berita Harian

Monday, August 31st, 2009 | Author:

Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phoneix Dactylifera  yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara Arab dan mempunyai pelbagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Makkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis.

Di kalangan penduduk di negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah di kalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Rasulullah SAW.
Malah Rasulullah ada bersabda “Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu”, Riwayat Imam Bukhari.

Dari segi saintifik pula, kurma mengandungi serat yang tinggi, kaya kalsium, potassium, zat folat, vitamin A, B, B1, B2, B3, Vitamin C dan E, bebas lemak dan bebas kolesterol dan berupaya mencegah beberapa penyakit serius seperti jantung, strok dan barah.

Kelebihan buah kurma:

  • Kurma mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.
  •  

  • Kandungan karbohidratnya yang tinggi membolehkannya memberi tenaga yang tinggi.
  •  

  • Kandungan tenaga yang dimiliki kurma menandingi antara keluarga besar buah-buahan.
  •  

  • Kurma mengandungi zat gizi penting bagi fungsi tubuh iaitu kalium khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.
  •  

  • Galian dalam kurma berfungsi untuk membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot-otot dan mengatur tekanan darah.
  •  

  • Gula yang terkandung dalam kurma mudah diserap dalam tubuh tanpa perlu melalui proses yang panjang. Atas sebab itulah, kurma dianggap sebagai buah yang paling ideal untuk hidangan berbuka puasa atau sahur.
  •  

  • Kurma mengandungi pelbagai vitamin penting seperti vitamin A, tiamin, riboflavin, niasin, zat besi, vitamin B, asam nikotinat dan serat.

 

Sumber: Berita Harian