Tag-Archive for » makanan «

Sunday, August 29th, 2010 | Author:

KEHAMILAN merupakan suatu perubahan fisiologi wanita yang berlaku untuk tempoh sembilan bulan dan disusuli dengan tempoh berpantang. Kebetulan masuk bulan Ramadan, wanita yang hamil juga ada kalanya ingin menjalani ibadah tersebut.

Namun, terdapat beberapa aspek perlu difahami mengenai amalam berpuasa di kalangan wanita yang sedang hamil.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Dr. Adilah Ahmad, manusia normal juga ‘berpuasa’ pada setiap malam sewaktu tidur.

“Bezanya sewaktu tidur kita tidak melakukan aktiviti lain. Tidur malam secara purata iaitu lapan jam berterusan juga tanpa disedari menyebabkan kita berpuasa dalam tempoh tersebut.”

“Penyesuaian pengambilan pemakanan yang mencukupi dalam tempoh terhad ini secara prinsipnya tidak mendatangkan masalah besar.”

“Bagaimanapun, jika berpuasa dikhuatiri akan menjejaskan kehamilan, maka seseorang bolehlah untuk tidak berpuasa,” ujarnya.

Berkongsi panduan bagaimana ibu hamil yang ingin berpuasa, Dr Adilah memberikan beberapa panduan berguna.

“Sebaik-baiknya sebelum ibu hamil mengambil keputusan untuk berpuasa, mereka perlu mendapatkan nasihat doctor masing-masing sama ada boleh berpuasa atau sebaliknya.”

“Wanita yang mempunyai masalah seperti kencing manis kronik, darah tinggi, masalah ulser, sistem pencernaan dan sebagainya, mungkin dinasihatkan doktor agar tidak berpuasa,” katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan ibu hamil mengambil makanan dan minuman yang mengandungi keperluan zat makanan yang diperlukan seeloknya dalam kuantiti mencukupi, sama seperti sewaktu beliau tidak berpuasa.

“Cara pengambilannya sahaja yang diubah kepada tempoh sewaktu berbuka puasa sehingga sewaktu bersahur sahaja.”

“Ini sangat penting. Penambahan berat badan yang sepatutnya juga perlu dipastikan sekitar setengah kilogram setiap minggu apabila melepasi bulan keempat.”

“Seterusnya, pastikan mengambil kalori (kcal) makanan yang sihat iaitu berjumlah sekitar 25 hingga 30 kcal bagi satu kilogram berat badan individu (secara purata di antara 1,800 ??? 2,000 kcal setiap hari).”

“Keperluan zat makanan pula hendaklah seimbang mengikut piramid makanan yang disarankan dengan pengambilan karbohidrat sebanyak 50 peratus, protein 30 peratus dan lemak 10 hingga 20 peratus.”

“Sama ada berpuasa atau tidak, pemakanan sihat sangat mempengaruhi perkembangan janin dan bayi yang bakal dilahirkan,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, “ibu hamil memerlukan air yang mencukupi, sekurang-kurangknya dua liter setiap hari (bersaiz empat botol kecil air mineral atau lapan hingga 10 gelas) bagi membantu mengurangkan dehidrasi atau kekeringan,” katanya.

Tambahnya, elakkan membeli-belah atau berjalan-jalan terutama di tengah panas supaya kekal segar dan tidak berlaku dehidrasi.

“Sebaiknya ambil makanan tambahan seperti pil vitamin dan kalsium pada waktu makan dan bukannya sewaktu bersahur bagi mengurankan kesan sampingan akibat ubat seperti loya dan pening kepala.”

“Ibu hamil juga disyorkan melambatkan watu bersahur kepada jam terakhir sebelum imsak serta tidak melambat-lambatkan berbuka apabila sampai waktunya bagi membantu mengurangkan tempoh berpuasa kepada hanya perlu sahaja,” katanya.

Menurut Dr. Adilah lagi, setengah ibu hamil yang berpuasa mengalami ketosis iaitu masalah yang berlaku dalam keadaan kelaparan yang lazimnya terjadi apabila berpuasa melebihi 16 jam terutamanya bagi wanita yang mempunyai penyakit kencing manis ataupun penyakit kurang zat makanan.

Situasi tersebut akan menghasilkan bahan ketone yang mungkin boleh memberi kesan negatif kepada wanita dan perkembangan janin dikandungnya.

Tambah Dr. Adilah lagi, wanita hamil juga perlu mengenalpasti isyarat tubuh sendiri.

“Jika ibu yang hamil sedar, mereka sememangnya tidak mengambil keperluan pemakanan yang mencukupi dan tidak bermaya, atau mengalami symptom-simptom hipoglisemia iaitu kekurangan gula dalam darah dan pening kepala, berpeluh-peluh dan sebagainya, mereka dinasihatkan berbuka puasa,” pesannya.

Perubahan kehamilan untuk menyesuaikan diri ketika berpuasa:

  • Trimester pertama (tiga bulan pertama kehamilan)
    Petanda-petanda morning sickness seperti tekak loya, pening kepala dan tidak berselera makan.
    Pilih makanan bersesuaian dan kurang mengambil makanan berminyak serta gandakan meminum banyak air.
    Pengambilan pil asid folik pula pada sebelah malam dan bukannya sewaktu bersahur supaya kesan sampingan seperti berasa loya dan bau ketika sendawa.
  • Trimester kedua (bulan 4, 5 dan 6 kehamilan)
    Pada waktu ini morning sickness dijangka telahpun reda, namun berlaku penurunan tekanan darah dari paras biasa menyebabkan ada yang mudah pitam terutamanya jika berdiri untuk tempoh yang lama. Minum air yang mencukupi selepas berbuka puasa serta tidak berdiri lama dalam mengurankan masalah ini.
  • Trimester ketiga (bulan 7, 8 dan 9 kehamilan)
    Wanita lebih mudah penat apabila bergerak akibat saiz kandungan yang semakin besar. Banyakkan berehat dapat membantu.

.

Sumber

Utusan Malaysia

Friday, August 13th, 2010 | Author:

Bulan Ramadan merupakan bulan bagi umat Islam menunaikan ibadah puasa. Ramai di antara kita yang menganggap bulan inilah masa yang paling baik untuk mengurangkan berat badan. Dalam erti kata lain, bulan untuk melihat lebih ramai wanita kurus!

Sebenarnya jika mahu kurus tidak semestinya berpuasa. Memang puasa salah satu cara yang tidak secara langsung boleh membantu kita mengurangkan timbunan lemak dalam tubuh badan. Tetapi ingat, ia tetap bergantung kepada cara mana kita menjaga pemakanan kita sepanjang bulan ini.

Sepanjang siang hari kita berpuasa maka apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita kerapkali akan membeli atau memasak apa sahaja makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan. Jika ini berlaku ke atas anda, sudah pasti bukan tubuh yang langsing anda miliki sebaliknya, tidak mustahil kalau berat badan anda juga kian bertambah terutamanya bagi anda yang kerap berbuka puasa di hotel.

Adalah penting untuk kita memilih makanan yang sesuai pada bulan puasa supaya di samping dapat menikmati rasa yang sedap, berkhasiat dan memperolehi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh, kita juga dapat berjimat.

.

Makan Secara Berperingkat
Pada bulan puasa ini sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut di samping tubuh kita mendapat cukup kalori untuk keperluan seharian. Jika pada hari-hari biasa kita mengambil sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, begitu juga di bulan puasa. Cuba amalkan makan secara berperingkat seperti pada waktu berbuka, mulakan dengan minuman, kuih-muih atau buah-buahan.
Ini sebagai pengenalan atau pendahuluan kepada perut kita yang kosong. Kita memberi rehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib. Selepas ini barulah perut kita akan lebih bersedia menerima makanan dalam kuantiti yang lebih banyak.

.

Makanan Seimbang
Di samping kuantitinya, kualiti pemakanan juga perlu dititikberatkan. Ini untuk memastikan tubuh kita kembali menerima tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh terkandung di dalamnya. Amalkan pemakanan seimbang di mana kita perlu memastikan semua sumber karbohidrat (kanji), protein, lemak, vitamin, mineral dan air diambil dalam jumlah yang sesuai dan mencukupi.

.

Memodifikasikan Diet
Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannya adalah mengikut resipi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba memodifikasikan diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.
.
TIP

1. Kurangkan pengambilan lemak

Cuba kurangkan pengambilan lemak terutama lemak tepu seperti sumber-sumber lemak dari binatang seperti mentega dan keju kerana lemak jenis ini mengandungi paras kolesterol yang tinggi. Semasa menggoreng dan menumis juga kita perlu meminimakan kuantiti minyak supaya makanan lebih sihat di samping berjimat cermat.
2. Tingkatkan pengambilan buah dan sayur-sayuran segar

Kebanyakan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku dan pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Sebagai contoh, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayur-sayuran juga adalah penyumbang serat (fiber) yang sangat baik untuk sistem pencernaan.

3. Lebihkan pengambilan air

Waktu berbuka atau bersahur anda disarankan minum jus buah-buahan (tanpa gula) dan elakkan dari minuman yang manis seperti minuman kordial atau minuman berperisa. Minuman yang berkafein seperti kopi tulen juga tidak digalakkan.

4. Kurangkan pengambilan makanan yang masin terutamanya ketika bersahur

Di samping kita dapat mengelakkan bahaya penyakit seperti serangan darah tinggi, ia juga dapat mengelakkan kita daripada rasa dahaga yang keterlaluan pada siang harinya.

5. Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang manis

Mengurangkan penggunaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan masalah kegemukan.

-

Sumber: Nur (November 2002)


Tuesday, June 29th, 2010 | Author:

BAWANG putih mempunyai nilai yang amat berguna pada kesihatan. Ciri-ciri penyembuhan dapat membantu meningkatkan tenaga dan kekuatan kepada tubuh badan di samping membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi (hypertension).

Minyak asas serta komponen lain yang dimilikinya mempunyai kekuatan antibodi, antifungal dan antiviral.

Khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan boleh didapati dengan mudah kerana bawang putih sememangnya digunakan sebagai penyedap masakan. Bawang putih mentah dihiris untuk masakan seperti daging, ayam dan sayur-sayuran atau salad. Selain itu ia juga dijeruk di dalam minyak untuk menghasilkan rasanya yang lazat.

Bawang putih juga boleh dijadikan ubat bagi penyakit sakit saraf, sakit sendi, kutil dan penyakit kulit lain.

Bawang putih segar yang dicampurkan dengan madu dikatakan dapat membantu menyembuhkan selesema, suara yang serak dan radang pada kerongkong.

Cara memakannya ialah dengan menekan atau gunakan mesin untuk menghancurkannya, kemudian campurkan dengan satu sudu madu. Kacau dan biarkan ia ditempat yang sejuk selama satu jam untuk sebatikan madu dan minyak bawang tersebut. Jika ada tanda-tanda untuk dijangkiti penyakit selsema, ambil satu atau dua sudu untuk diminum. Ulangi setiap jam berikutnya.

Ia juga boleh digunakan apabila selesema teruk dan amat berkesan untuk melegakan sesak nafas dan batuk.

Bawang putih juga dikatakan mampu memberi kesan terapeutik. Sulfur yang terdapat pada minyak bawang putih boleh membantu menjadi pembasmi atau pembunuh kuman dalam badan.

Jika bawang putih dijadikan makanan, ia akan diserap ke dalam aliran darah kemudiannya tersebar melalui pelbagai organ seperti bahagian kulit, usus, paru-paru dan sistem perkumuhan air kencing

Semua organ-organ tersebut mendapat manfaat penyembuhan daripada khasiat bawang putih.

-

Komponen-komponen

Bawang putih diperkaya dengan minyak asas dan agen utamanya yang aktif adalah alisin. Sebatian ini bertanggungjawab menghasilkan bau bawang putih dan berperanan sebagai agen membantu penyembuh penyakit. Sementara itu, bawang putih juga mengandungi kalsium, selenium, kalium dan zink.

Penggunaan bawang putih juga dapat membantu menurunkan tahap kolestrol dalam darah.

Bawang putih juga dikatakan mampu membantu untuk mencegah pertambahan plak di dalam arteri koronari.

Selain itu ia juga membantu mengelakkan pembentukan darah beku di dalam saluran darah. Kedua-duanya dapat melindungi tubuh daripada serangan sakit jantung dan strok.

-

Tip tambahan

Apabila anda memakan banyak bawang putih ia akan memberikan anda bau badan dan nafas yang tidak menyenangkan. Ini disebabkan oleh kandungan minyak yang terdapat padanya telah dikumuh melalui sistem pernafasan dan kulit. Jadi, bagi mengurangkan kesan yang tidak enak ini, kunyahlah daun parsli, taim atau pudina dengan segera selepas memakan bawang putih.

-

Untuk gangguan usus

Kualiti yang terdapat pada bawang putih juga digunakan untuk membantu merawat ulser. Untuk lebih berkesan makanlah tujuh hingga sembilan ulas bawang putih sepanjang hari mengikut cita rasa masing-masing.

Sama ada memakannya dengan susu atau ditaburkan di atas roti. Namun bagi ibu yang mengandung atau masih menyusukan anak tidak digalakkan untuk mengambilnya.

-

Untuk mengelakkan jangkitan

Sangat bagus untuk penyakit kaki makan air, ketuat, jangkitan-jangkitan kulit dan jerawat. Letakkan bawang putih segar yang telah dilecek ke dalam sekeping kain kasa dan sapukan pada kawasan yang terlibat.

-

Tip untuk dapur anda

lApabila membeli bawang putih pilihlah yang masih kukuh. Seharusnya kulit luarnya tegang, tidak pecah dan berwarna putih atau ungu.

lElakkan membeli bawang putih yang lembut dan lembap.

Sumber: Utusan Malaysia

Tuesday, May 04th, 2010 | Author:

  1. Basuh tangan dengan sabun setiap kali selepas menggunakan tandas dan setiap kali sebelum dan selepas mengendalikan atau menyediakan makanan. Gunakan air panas dan bersabun untuk membersihkan perkakas memasak, papan memotong dan lain-lain permukaan yang digunakan.
  2. Apabila membeli-belah, menyediakan atau menyimpan makanan, asingkan daging mentah, ternakan, ikan dan makanan bercangkerang daripada makanan lain bagi mengelakkan pencemaran silang.
  3. Masak makanan pada suhu yang selamat. Cara terbaik bagi memastikannya adalah dengan menggunakan termometer makanan. Anda boleh membunuh organisma yang boleh menjejaskan yang terdapat dalam kebanyakan makanan dengan memasak pada suhu antara 630 C hingga 740 C.
  4. Sejukkan atau dinginkan makanan yang mudah rosak dalam tempoh dua jam pembelian atau penyediaannya. Jika suhu bilik lebih 320 C, sejukkan makanan yang tidak tahan lama itu dalam masa sejam. Letakkan makanan di dalam pembeku jika tidak mahu memakannya dalam masa dua hari.
  5. Mencairbekukan makanan dengan selamat. Jangan lembutkan makanan pada suhu bilik. Cara terbaik untuk melembutkan makanan adalah dengan mencairbekukan makanan di dalam peti sejuk atau mikrogelombang. Melalukan air sejuk ke atas makanan untuk melembutkannya juga selamat.
  6. Buangkan sahaja makanan itu kalau anda ragu-ragu dengan cara penyediaannya, penyimpanan atau hidangannya. Makanan yang dibiarkan pada suhu bilik dengan terlalu lama mungkin mengandungi bakteria atau racun yang tidak boleh dimusnahkan lagi walaupun dengan memasaknya. Jangan kecap makanan itu jika anda tidak pasti mengenai tahap keselamatan dan kebersihannya. Walaupun ia mungkin kelihatan (atau berbau) masih baik, ia mungkin tidak selamat lagi untuk dimakan.
  7. Berwaspadalah semasa menghidangkan makanan. Bakteria berbahaya boleh membiak dengan cepat semasa menyediakan makanan tanpa pemanasan atau penyejukan sempurna terutamanya semasa majlis luar atau bufet. Buang saki-baki makanan yang berada pada suhu bilik lebih dua jam atau dalam cuaca panas, lebih empat jam.
  8. Tahu bila masanya untuk mengelakkan sama sekali makanan tertentu terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi. Langkah lebih berhati-hati perlulah diambil oleh mereka dengan mengelakkan makanan seperti daging mentah, ikan atau makanan bercangkerang yang tidak cukup masak.

Keracunan makanan selalunya reda dengan sendiri dalam masa 48 jam. Untuk membantu diri anda berasa lebih selesa sekali gus menghalang dehidrasi dalam waktu pemulihan itu, anda boleh cuba langkah-langkah berikut:

  • Biarkan perut anda rehat. Berhenti makan atau minum selama beberapa jam.
  • Hisap ketulan ais atau hirup sedikit air. Anda boleh juga mengambil minuman bersoda. Orang dewasa patut minum sekurang-kurangnya lapan hingga 16 gelas air setiap hari sedikit demi sedikit tetapi kerap.
  • Secara beransur-ansur, makan makanan yang dikisar dan mudah hadam seperti kraker (biskut kering nipis), pisang dan nasi. Berhenti makan jika mual-mual kembali.
  • Elakkan makanan dan bahan-bahan tertentu hingga anda berasa lebih baik. Antaranya produk tenusu, kafeina, nikotin dan makanan berlemak atau mempunyai perasa makanan tinggi.
  • Banyakkan berehat. Kesakitan dan dehidrasi mungkin telah melemah dan memenatkan anda.

Sumber: Berita Harian

Thursday, October 22nd, 2009 | Author:

Bawang putih

  • Mengandungi antibakteria yang membantu mengurangkan kolesterol dan lemak yang tidak sihat.
  • Minyak atau jus bawang putih mempunyai kualiti sama untuk membantu mengurangkan lemak.
  • Bahan berkenaan juga berfungsi membersihkan badan dari dalam.

******************************

Epal

  • Mengandungi bahan kimia dipanggil ‘pectin’ yang juga boleh didapati dalam buah beri dan buahan segar lain.

******************************

Kacang soya

  • Mengandungi lecitin yang mampu menghalang pembentukan lemak.

******************************

Buahan sitrus seperti oren, anggur dan lemon

  • Mengandungi vitamin C serta dikenali sebagai asid ascorbik yang berfungsi untuk membakar lemak dan menghalang pembentukan lemak.

******************************

Asparagus

  • Mengandungi kimia ‘asparagin’. Ia sejenis ‘alkaloid’ yang membantu kitaran dan mempertingkatkan fungsi buah pinggang.

******************************

Tauge

  • Sayuran yang mengandungi banyak khasiatnya terutama vitamin C dan kaya dengan protein yang membantu mempertingkatkan sistem metabolisme.

******************************

Lobak merah

  • Mengandungi karotina iaitu sejenis vitamin A yang mana membantu membersihkan sistem penghadaman dalam badan dan membuang sisa lemak dengan cepat. 

******************************

Seleri

  • Mengandungi kalsium dan mempunyai tahap magnesium tinggi.

******************************

Timun

  • Mengandungi sulfur dan silikon. Juga untuk kebaikan buah pinggang untuk membersihkan asid urik.

******************************

Tomato

  • Tinggi vitamin C dan asid citricmalic-oxalic yang mana ia mempercepatkan proses metabolik. Untuk kebaikan buah pinggang juga, asid berkenaan membantu seseorang membuang air berlebihan.

******************************

Oat

  • Membantu membersihkan organ dalam badan kerana mengandungi sulfur dan iodin. Ia juga membantu membersihkan membran dalam perut dan intestin.

******************************

Kobis

  • Makanan terbaik yang membantu mengurangkan lemak.

******************************

Teh hijau

  • Mengandungi kafein yang boleh mengurangkan tahap ‘plasma triglycerides’ dan membakar lemak.

******************************

Bawang merah

  • Mengandungi mineral seperti minyak dan sulfur yang membantu untuk memecahkan lemak dan meningkatkan metabolisme badan.

 

 

Sumber: Berita Harian